Hartaguam syor mudahkan pembelian rumah mampu milik

BANGI, 8 Rejab 1438H, Rabu – Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) mengemukakan beberapa cadangan supaya dapat diperhalusi oleh kerajaan bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah mampu milik.
Presiden HartaGuam, Salkukhairi Abd Shukor berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, kerajaan perlu mewujudkan satu dana dan tabungan perumahan khas untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya, golongan yang dikenal pasti sebagai berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk belia yang baru bekerja, boleh mencarum dalam tabungan itu bertujuan membeli rumah mampu milik yang disediakan pihak kerajaan.
Beliau berkata, jika tabungan itu masih tidak mencukupi untuk membeli rumah, mereka boleh memohon pembiayaan melalui satu agensi khusus yang diwujudkan kerajaan bagi menguruskan dana perumahan mampu milik.
“Syarat-syarat kelulusan pembiayaan yang ditetapkan melalui agensi tersebut hendaklah tidak ketat seperti syarat-syarat kelulusan pembiayaan bank.
“Asalkan pemohon telah mencarum dalam tabungan pembelian rumah mampu milik dan caruman mereka telah mencapai satu tahap minimum yang ditetapkan, mereka layak dipertimbangkan menerima pembiayaan tersebut untuk membeli rumah mampu milik,” katanya hari ini.
Salkukhairi berkata, pada masa sama, sistem pemilihan untuk pembelian rumah mampu milik juga perlu ditambah baik.
“Pemilihan bukan sekadar berdasarkan kepada kelayakan pendapatan semata-mata, tetapi pemilihan juga hendaklah berdasarkan kepada sejauh manakah pembeli-pembeli tersebut telah bersedia untuk membeli rumah dan mempunyai ilmu asas pengurusan kewangan diri dan asas-asas ilmu berkaitan pembelian hartanah,” katanya.
Katanya, pendedahan tersebut perlu di lakukan oleh kerajaan melalui program celik kewangan dan hartanah sejak awal lagi selepas seseorang itu memasuki alam pekerjaan, terutama kepada mereka yang telah mencarum di dalam skim caruman pembelian rumah mampu milik itu.
“Ini untuk mempastikan pembeli yang layak memiliki rumah mampu milik kelak bukan sahaja mempunyai kelayakan untuk membeli dari segi kewangan dan pendapatan tetapi juga mampu menguruskan kewangan dan harta yang mereka bakal beli dengan baik,” katanya.

Comments

Popular Post